Sekian lama menyepi tanpa berita di sini... sehinggakan bersawang-sawang blog ni dibuatnya. Apakan daya, kesibukan bekerja sendiri ternyata tak sama dengan bekerja makan gaji. Segalanya diutamakan. Masa itu bagaikan emas. Berlalu tanpa melakukan apa-apa bermakna tiada rezeki yang menanti. Syukur alhamdulillah segalanya berjalan dgn lancar semenjak aku mengambil keputusan untuk meletak jawatan di negara orang tiga bulan lalu.
Semenjak pulang ke pangkuan keluarga, masa banyak terisi seolah-olah membayar semula saat yang berlalu sehingga lebih setahun tanpa mereka di sisi. Yang paling menyentuh perasaan ialah apabila Allah ternyata memakbulkan niat isi hatiku untuk pulang sementara orang2 yang aku sayangi masih bernafas di muka bumi ini.
November 2011 menjadi momen yg akan aku kenang. Selepas kembali dari Brunei Darussalam, hanya sekali aku dapat bersua muka dan bergurau senda bersama atuk (sebelah ayah), hanya pada sambutan Hari Raya Aidiladha. Dia pergi dalam keadaan koma. Dan kami sekeluarga, yang telah seminggu menziarahi nenek di hospital dikejutkan dengan keadaannya yang tiba-tiba nazak dan dimasukkan ke hospital sejurus nenek dibenarkan keluar dari wad pd hari yang sama. Selang dua hari kemudian dia dijemput kembali ke rahmatullah. Tinggallah segala kenangan bersamanya selama ini.
2011 menjadi tahun yang agak menyedihkan apabila dua lagi insan dikasihi meninggalkan kami buat selamanya. Awal tahun menyaksikan arwah atuk (sebelah mama) pergi menemui Sang Pencipta. Begitu juga mak saudara yang digelar mama ngah beberapa bulan selepas itu berikutan penyakit barah paru-paru yang dihidapinya selama ini.
Namun momen yang paling tidak dapat aku lupakan sehingga bila-bila ialah pemergian seorang sahabat yang memiliki hati yang suci murni... yang tidak pernah menyakiti hati mahupun mengecewakan orang lain di sekelilingnya... Saat kaki menganjak hari pertama 2012, Khairil Nizar Mohd Ali meninggalkan keluarga dan sahabat handainya untuk bersama-sama Yang Maha Esa. Seorang sahabat yang sentiasa berada di sisi rakan-rakan saat susah dan senang. Aku tidak serapat seorang lagi rakan bersama arwah, bilamana hari perkahwinannya dan sepanjang dia mengandung, arwah laa tempat dia bergantung kerana suaminya berjauhan. Namun kebaikannya bersama rakan-rakannya membuatkan semua orang terkesima dengan berita pemergiannya. Aku bersyukur kerana sempat menziarah ketika arwah sakit dan dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali. Dan aku juga bersyukur kerana berkesempatan bersama-sama arwah menyahut cabaran Media Hunt anjuran Felda, sejurus selepas dia keluar dari hospital. Namun dua minggu selepas itu arwah dimasukkan semula ke hospital kerana dipercayai menghidap meningitis. Sejak itu arwah terlantar sakit. Katilnya tidak henti2 dikunjungi ahli keluarga dan sahabat handai. Sehinggalah saat dia pergi. Begitu ramai yang mengiringinya waktu solat jenazah dan ke tanah perkuburan. Terputuslah sudah persahabatan kami. Tiada lagi gurau sendanya yang akan kedengaran. Mahupun suaranya yang serius saat melontarkan pandangan.
Begitulah resam kehidupan. Saat dijemput, tidak kurang atau tidak lebih mahupun seminit. Namun yang mati pasti akan hidup kembali... di alam barzakh... yang abadi... Semoga kita semua dipertemukan lagi di sana. Hanya iringan doa yang mampu diberi... damailah semua di sana. Semoga Allah tempatkan kalian di kalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa. Al-fatihah...
Semoga hari-hari 2012 yang seterusnya menjanjikan yang lebih baik... Amin...
No comments:
Post a Comment