Wednesday, November 3, 2010

Alasan Anda Bercuti

Pulau Lang Tengah
Anda sebenarnya tidak perlukan sebarang sebab atau alasan untuk pergi bercuti. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, beb! Sebab-sebab berikut ini sekadar untuk menyedapkan hati sendiri:-

1 . Hargai segala kerja keras anda dan hadiahkan percutian ini untuk kekal bersemangat.
2. Mengingatkan diri bahawa dunia ini lebih luas dari perjalanan ulang-alik ke tempat tugas.
3. Menghargai ciptaan alam semula jadi.
4. (Tulis alasan anda di sini dan biarkan laman ini terbuka di pc anda untuk tatapan 'pihak-pihak berwajib').

Anda yang suka bercuti dengan teman-teman atau anggota keluarga dan menjadikan percutian sebagai suatu kemestian pada setiap musim cuti sekolah. Ada juga yang gemar bercuti sendirian. Ia sekadar untuk merehatkan fikiran (saya lihat ramai yang tersenyum dan mengangguk tanda setuju, termasuk saya sendiri). Kasihan pula pada yang hanya menggigit jari kerana sama ada tidak cukup bajet untuk pergi bercuti ke destinasi idaman atau terlalu sibuk bekerja. 
Hentikan segala alasan. 
Percayalah. Segala tugasan anda takkan pernah beres selagi anda masih memegang jawatan di syarikat itu. Kini banyak tersedia pakej percutian dengan harga berpatutan dan tak perlu ke hujung dunia untuk melihat pemandangan indah. 
Sekarang pejamkan mata. Ambil nafas panjang dan hembuskan perlahan-lahan.
Bayangkan sebuah pulau peranginan yang indah dengan pasir yang halus nan putih, serta air laut yang jernih membiru. Hayati desiran ombak yang memukul pantai dengan irama puitis yang membuat diri semakin tenggelam dalam khayalan. 
Lokasi terpilih ialah Pulau Lang Tengah yang terkenal sebagai pulau peranginan yang kaya dengan keindahan alam dasar laut. 
Sekarang, buka mata dan baca seterusnya untuk ketahui di mana terletaknya pulau idaman ini dan bagaimana untuk ke sana. 
Terasa singkat percutian 3 hari 2 malam ini dirasakan. Setelah melihat hamparan laut yang biru jernih, terasa seperti hendak menetap terus di pulau ini. Suasana yang jauh dari hingar bingar dan kepesatan kehidupan kota membuat diri berasa lebih relaks dan melegakan segala ketegangan tubuh. 

Info mengenai Lang Tengah:
-- terletak kira-kira 40km timur laut Kuala Terengganu (22.5km dari Tanjung Merang), pantai timur semenanjung Malaysia
-- hanya boleh dikunjungi dengan menaiki bot dari Tanjung Merang, 45 minit memandu arah utara Kuala Terengganu

Untuk sampai ke Lang Tengah
-- Kebanyakan resort menyediakan perkhidmatan bot pergi dan balik dari Tanjung Merang ke Lang Tengah. Anda boleh juga menyewa sebuah bot dari Pulau Perhentian berhampiran atau Pulau Redang (yang turut mempunyai sebuah lapangan terbang)
-- Perkhidmatan bot laju yang bertolak dari Tanjung Merang mengambil masa kira-kira 40min ke pulau ini.
-- Kebanyakan bot mengikut jadual yang ditetapkan setiap hari (pagi dan tengahari) pada musim kemuncak dan satu pada bukan musim kemuncak. Tambang yang dikenakan sekitar RM95 pergi-balik

Selamat bercuti

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails