Sunday, April 24, 2011

Sayang Sarawak Part III

Rupa orang kepenatan selepas Nature Walk
Selepas meredah semak, naik dan turun bukit, tawakkal seberang jambatan gantung, kami tiba di penghujung Nature Walk... Eh, sedar tak sedar rupanya 45 minit jugak berjalan dalam hutan sewaktu senja menghampiri ni. Di tepi kawasan resort, terdapat sebidang tanah yang dipenuhi pokok-pokok herba yang ditanam oleh pihak pengurusan.


Seterusnya kami dibawa ke Borneo Oasis Spa yang terletak di blok berhampiran kolam renang resort. Seronoknya apabila tubuh dilumuri minyak urut yang wangi sambil berbaring di dalam bilik yang harum semerbak dengan wangi-wangian herba. Selalunya aku akan tertidur setiapkali memanjakan tubuh di spa. Kali ini tidak terkecuali. Sedar-sedar masa 90 minit berlalu begitu sahaja. Rugi betul! Tapi memang terasa ringan di bahu dan belakang tubuh selepas beberapa bulan tidak melakukan rawatan di spa.


Keluar dari spa, hari sudah gelap! Mujur ada teman turut serta. Kalau tidak, aku tak berani nak berjalan balik ke bilik seorang diri dalam kegelapan ini. Sebaik tubuh disimbahi air suam di bilik mandi, kelegaan semakin dirasai. Mengambil masa yang lebih sebelum bersiap untuk makan malam.
Kali ini aku memilih untuk makan hidangan western Australian Rib Eye Steak yang sememangnya menjadi kegemaran aku (terlalu banyak sebenarnya makanan kegemaran, tak terhitung!). Pegawai yang mengiringi pula mencadangkan beberapa menu lain untuk dikongsi bersama - spaghetti carbonara, Ikan Panggang Rumah Engkaras dan lain-lain yang aku tak ingat namanya.
Australian Rib Eye Steak

Ikan Panggang Rumah Engkaras
Ternyata juadah di sini sedap-sedap belaka!
Sepanjang malam ini kami habiskan bersama untuk bersembang dan bertukar-tukar cerita, pengalaman masing-masing sehingga tidak menyedari tengah malam menjenguk dan kami juga terasa mengantuk. Esok pagi aktiviti bebas sebelum bot membawa pulang pada jam 12.15 tenghari, tepat!
Kesempatan masa bebas pada waktu pagi kuhabiskan untuk berjalan di sekitar hadapan resort, di tepi tasik. Mula-mula ke kawasan tasik di mana tetamu resort boleh melakukan aktiviti air seperti berenang atau berkanu, atau sekadar berehat-rehat di kerusi malas.

Selepas hidangan tengahari, kami bersiap-siap untuk pulang ke Kuching. Tidak puas sebenarnya hanya menghabiskan satu malam di sini. Saya memberitahu suami untuk ke kembali bercuti ke sini suatu hari nanti.
Pengalaman berada di kawasan tasik Batang Ai tidak akan dilupakan. Ia tidak sama dengan pengalaman berada di Tasik Kenyir, Terengganu. Walaupun di sini tidak menjanjikan pemandangan dahan-dahan pokok berceracak di permukaan air, ia tetap menjanjikan satu pengalaman unik seperti bermalam di rumah panjang. Harapnya kedatangan aku semula akan datang berpeluang menaiki bot untuk meneroka lebih jauh ke dalam kawasan tasik dan menyaksikan sendiri rumah-rumah panjang sebenar kaum Iban.
Selamat tinggal Batang Ai! Doakan kehadiranku di sini semula suatu hari nanti. Tapi, alamak ada 4 jam lagi perjalanan nak kena tempuh untuk balik ke Kuching...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails