Gambar hiasan |
Oleh Sri Wazni Asahar
PERNAHKAH awda mencuba sukan kayak arus deras atau ‘white water rafting’? Sukan ini semakin popular di kalangan peminat sukan ekstrim. Bagi awda yang gemarkan sesuatu yang mencabar, dikelilingi arus deras dan jeram berbahaya serta alam semulajadi, inilah sukan yang tepat untuk awda!
Perkembangan aktiviti ini sebagai sukan rekreasi semakin popular sejak pertengahan tahun 1980an. Jenis rakit yang biasanya digunakan ialah rakit getah. Ia tahan lasak, fabriknya diperbuat daripada lapisan getah dengan beberapa ruang udara bebas. Panjang sesebuah rakit getah adalah pelbagai di antara 3.5m dan 6m (bergantung kepada berapa ramai pendayung), dans lebar antara 1.8m dan 2.5m. Rakit biasanya digerakkan dengan bilah dayung biasa dan pendayung biasanya terdiri daripada 4 dan 12 orang.
Kemahiran mendengar kunci utama
Melihat kepada arus deras, tidak ramai yang berani dan mahu meneruskan aktiviti ini kerana mungkin tidak yakin mampu melakukannya. Namun sekali awda mencuba, dengan galakan daripada rakan-rakan lain yang sudah biasa, semangat dan berani datang dengan sendiri dan pasti mahu mencubanya berkali-kali!
Berakit di sungai berarus deras merupakan satu sukan penuh cabaran yang menggabungkan adrenalin, keindahan semulajadi dan kerjasama kumpulan ketika berdepan dengan cabaran.
Walaupun air sungai yang deras sesekali menyimbah ke muka, cabaran yang dihadapi sebenarnya begitu menyeronokkan sehingga mampu membuatkan kita lupa mengenai perasaan takut.
Aktiviti ini nampak merbahaya, namun awda akan dilengkapkan dengan persediaan seperti latihan menguji tahap keyakinan diri ketika berada dalam air sebelum mula mengharungi arus deras.
Sukan lasak ini memerlukan jurulatih profesional yang sentiasa memberi panduan dan cara untuk mengawal keadaan. Ini bermakna, awda tidaklah dibiarkan bersendirian semasa mengemudi rakit getah sepanjang berada di dalam air. Mereka yang lebih berpengalaman akan duduk di bahagian depan dan belakang rakit untuk mengendali dan mengemudi.
Ketika latihan, selalunya rakit getah akan sengaja diterbalikkan dan setiap peserta berakit arus deras ini diajar cara untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku keadaan yang tidak diduga.
Kunci utama dalam sukan ini adalah kemahiran mendengar arahan, mendayung dan mengemudi di jeram-jeram yang akan dilalui. Setiap orang berperanan mendayung dengan strok yang berlainan untuk menggerakkan rakit.
Di bahagian belakang rakit, biasanya kapten, yang seperti konduktor filharmonik, mengarahkan ahli kumpulan apabila beberapa kaedah mengemudi diperlukan. Ahli kumpulan lain pula akan memberi respon (yang adakalanya terpaksa menjerit) kepada arahan kapten semasa dia memantau arus sungai dan laluan terbaik yang mana perlu dilalui.
Terdapat lima arahan yang sering digunakan oleh kapten dalam sukan ini. Ia terdiri daripada “forward paddle”, “back paddle”, “left turn”, “right turn”, dan “stop”. Apabila arahan “forward paddle” diberikan, ini bermakna bilah pendayung hendaklah dikeluarkan ke depan dan menarik bilah tersebut membelah air semasa mendayung, dan sebaliknya apabila arahan “back paddle” diberikan. Hasil daripada arahan ini akan membuatkan rakit getah bergerak ke hadapan atau ke belakang.
Arahan “left turn” dan “right turn” adalah untuk mengemudi rakit sama ada ke kiri atau kanan. Sekiranya mahu ke kiri, pendayung yang duduk di sebelah kiri rakit yang akan mendayung. Begitu juga sebaliknya. Ia digunakan untuk mengelak daripada batu-batuan atau kembalikan rakit ke arus yang betul. Sekiranya para pendayung mendayung bilah mereka bersama-sama dalam satu arah, ia akan memberi kuasa tambahan untuk rakit bergerak secara lurus ke hadapan.
Untuk berhenti, kapten hanya memberi arahan “stop” dan semua pendayung akan mengangkat bilah secara serentak mengikut arus sungai.
Tahap kesukaran skala antarabangsa
Semasa menyelusuri sungai yang berarus deras ini, awda pasti berhadapan dengan pelbagai jenis jeram untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan. Jarak berakit biasanya bergantung kepada penggemar sukan ini. Ada antaranya terpaksa memakan masa sehingga berjam-jam lamanya.
Peringkat kesukaran adalah mengikut piawaian antarabangsa bagi meletakkan skala sesuatu jeram yang dilalui sepanjang berakit di arus deras ini. Ia diketegorikan dalam beberapa kelas atau gred dan seterusnya diberi nombor kesukaran.
Ia bukanlah sesuatu yang linear atau tetap. Tahap kesukaran mungkin terbahagi kepada sukar gred dua atau tiga. Selain itu, gred juga berubah mengikut arus air. Seringkali peringkat jeram diberi gred mengikut nombor dan “plus” (+) atau “minus” (-) bagi menentukan tahap ketinggian sesuatu jeram.
Kelas/Gred I biasanya digunakan di kawasan jeram yang mendatar, arus yang perlahan dan hanya terdapat beberapa halangan kecil dan mudah untuk mengemudi. Ia tidak berbahaya dan misi menyelamat juga mudah.
Kelas/Gred II hanya mempunyai jeram yang lurus danmudah dengan ombak kecil atau halangan seperti pokok-pokok tumbang. Laluan biasanya mudah tanpa memerlukan banyak pemantauan.
Kelas/Gred III pula mempunyai beberapa jeram, sedikit kocakan ombak serta halangan-halangan yang lebih banyak daripada sebelumnya atau lubang-lubang air. Terdapat beberapa arus yang tidak sekata dan sedikit sukar. Kebanyakan tempat biasanya perlu dipantau terlebih dahulu daripada dalam rakit atau di tebing sungai.
Kelas/Gred IV mempunyai sungai yang panjang dengan beberapa jeram yang sukar serta ombak yang tidak sekata dan lebih besar. Jurang juga adakalanya lebih dalam sehingga mencapai ketinggian 3m selain pusaran air yang lebih bahaya. Laluan ini agak sukar untuk dikenalpasti dan lebih mencabar dan berisiko kepada perenang. Biasanya kawasan akan dipantau terlebih dahulu daripada tebing sungai.
Kelas/Gred V pula lebih kurang sama dengan gred IV dengan halangan yang lebih banyak dan arus yang sukar dijangka. Seringkali terdapat beberapa halangan besar dan berbahaya seperti pusiran air yang lebih besar. Laluan adalah sukar dan berisiko tinggi kepada pendayung dan kelengkapan berakit. Misi menyelamat juga lebih sukar dan memerlukan bantuan dari tebing sungai.
Selepas beberapa lama, para peminat sukan ekstrim ini juga telah mengkaji semula gred dan kelas dari 6 kepada 5. Disebabkan itu juga, ramai yang mula meletakkan beberapa jeram sebagai kelas 5, 5.1 dan seterusnya mengikut peringkat kesukaran.
Kelas/Gred VI biasanya laluan yang paling sukar yang memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi. Hanya yang benar-benar berkemahiran tinggi sahaja yang berani menempuhnya.
Bukan sekadar kelas atau gred yang menentukan tahap kesukaran laluan bagi sukan ini. Selain itu tahap ketinggian air sungai juga menjadi sebab laluan tersebut sukar dilalui. Semakin dalam air sungai, semakin sukar dan berbahaya jadinya.
Ketika rakit menuju ke hilir, laluan biasanya akan menjadi semakin sempit, arus kian deras, lebih banyak batuan dan jeram yang lebih ganas serta mencabar.
*my first article published in Media Permata, Brunei Darussalam
No comments:
Post a Comment